Kebakaran Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah - 23 pondok hangus

Friday, December 18, 2009

I Panel Penulis Itmam

11 Desember 2009, Jitra: Satu kebakaran telah berlaku di Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah yang terletak di Kampung Tanjung Kapur, Mukim Naga, Jitra, Kedah.

Menurut salah seorang tenaga kerja di situ Mohd Zulkhairi Jamaludin berkata, kebakaran yang melibatkan 23 buah pondok yang menjadi tempat kediaman dan penginapan para pelajar itu berlaku pada waktu tengah hari ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat.

Mangsa, Mohd Awis Al-Qarni, 14, yang berasal dari daerah Baling berkata, dia tidak menyangka kejadian tersebut berlaku sehingga menyebabkan semua peralatan dan kemudahan pondok musnah dalam masa yang singkat.

Menurutnya, peralatan yang penting termasuk kitab pengajian agama dan barang peribadi juga tidak dapat diselamatkan kerana semasa kejadian tersebut semua penghuni tiada di kawasan tersebut.

“Saya dapat tahu kejadian ini ketika berada di masjid, apabila salah seorang rakan memberitahu saya ada kebakaran berlaku.

“Pada mulanya saya beranggapan ia hanyalah gurauan turut tetapi agak risau dengan berita yang di sampaikan rakan saya itu. Sambil dalam hati berdoa agar apa yang dikatakan itu adalah jenaka semata,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, apabila sahaja sampai di perkarangan kawasan madrasah tersebut mereka ternampak jentera bomba sedang memadamkan api dan dari situ barulah dia mempercayai berita yang diterimanya sewaktu di masjid.

Mohd Awis berkata, akibat kejadian tersebut, dia dan hampir 30 orang pelajar lain hilang tempat tinggal.

“Semuanya sudah hangus. Kini kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui di lokasi, kelmarin.

Menurutnya, sejak tinggal di pondok pengajian tersebut kira-kira dua tahun lalu, kejadian kebakaran tersebut adalah kes pertama yang berlaku.

Sementara itu, Pengetua Madrasah Al-Qulum Ad-Diniah Al-Usmaniah, Sobri Osman berkata, dia difahamkan oleh isterinya kejadian tersebut mula disedari oleh salah seorang penuntut di pusat pengajian tersebut yang tidak ke masjid menunaikan solat Jumaat kerana tidak sihat.

“Pelajar tersebut berlari dari kawasan pondok itu untuk memberitahu isteri saya bahawa ada kebakaran berlaku di situ dan meminta isteri saya menelefon bomba,” katanya.

Menurutnya, api tersebut bermula dari sebuah pondok yang tidak berpenghuni dan merebak dengan cepat ke pondok berhampiran sehingga menyebabkan 24 buah pondok penempatan pelajar hangus.

“Saya beranggapan kejadian kebakaran ini berlaku adalah disebabkan litar pintas kerana sebelum ini pun sudah berlaku masalah pada meter elektrik yang terdapat di sini. Nasib baik masalah tersebut cepat disedari dan kami telah memperbaikinya,” katanya.

Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu turut dipengaruhi oleh tiupan angin dan cuaca panas sehingga menyebabkan api marak begitu cepat ke kawasan pondok lain.

Pada perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin mengesahkan kejadian tersebut dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Menurutnya, polis menerima laporan kejadian kebakaran tersebut iaitu pada jam 1.50 petang dan anggota polis segera ke lokasi kejadian bersama pihak bomba.

“Anggota bomba dari Balai Jitra dan Alor Setar berjaya mengawal api kira-kira 10 minit selepas menerima laporan kebakaran tersebut. Punca sebenar kebakaran masih disiasat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kemungkinan besar kejadian kebakaran tersebut berlaku disebabkan litar pintas yang difahamkan bermula dari sebuah pondok yang terletak di tengah-tengah penempatan pondok tersebut.

Katanya, faktor angin dan cuaca juga adalah penyumbang kepada berlakunya kebakaran lebih cepat sehingga menyebabkan semuanya musnah.

Proses memadamkan kebakaran telah dilakukan oleh dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dan Alor Setar.

Pembantu Pengetua Madrasah, Mohd Zulkhairi Jamaludin berkata, nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM80,000. Kini pelajar yang terlibat hilang segala barangan keperluan seperti pakaian, kitab, alat tulis dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, pihak Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah memohon jasa baik saudara seagama semua untuk mendoakan semoga diberikan kesabaran dan kekuatan oleh Allah untuk menghadapi ini.

Pihak Madrasah juga berharap semoga para pembaca sekalian dapat memberi perhatian yang sewajarnya berhubung perkara ini. Segala jasa baik daripada anda semua dahului dengan ucapan ribuan terima kasih dan semoga diberkati Allah SWT.

Kepada orang ramai yang ingin membantu pembinaan pusat pengajian agama tersebut bolehlah menghubungi Madrasah Al-Ulum Ad-Diniah Al-Usmaniah, Pondok Tanjung Kapur, Jalan Lubuk Kawah, Mukim Naga, 06000 Jitra, Kedah Darul Aman.

Anda juga boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pembantu Pengetua Madrasah, Mohd Zulkhairi Bin Jamaludin di talian 013-5230015.

0 comments:

Post a Comment