Liku-liku Hidup Bekas Samseng

Friday, December 18, 2009

I Panel Penulis Itmam


Mukanya menggambarkan dia seorang lelaki yang garang. Sememangnya dia seorang lelaki yang garang dan ganas sewaktu umur mudanya. Bahkan dia termasuk dalam kelompok samseng tegar di daerah Tawau, Sabah.

Jari telunjuk di tangan kanannya dipotong dan yang tinggal hanya sedikit tunggul jari yang sudah tidak berfungsi apa-apa lagi. Katanya: “Jari yang dipotong itu adalah lambang persaudaraan dalam kumpulan samseng.”

Sambungnya lagi: “Saya seorang pemain muzik di kelab malam. Selain itu, saya juga seorang bouncer, orang yang mengawal keluar masuk pelanggan. Masa-masa lain pula saya mencuri dan merompak bersama kawan-kawan. Pukul orang tu kerja biasa pada kami.”

Luahan hatinya dibuat sewaktu berada di Mekah dan seusai tawaf Umrah pada suatu malam dalam bulan Ramadhan tahun 2008. Sewaktu berada di Mekah dan Madinah, memang terbayang di wajahnya kemuraman dan dia lebih banyak berdiam diri. Rupanya, itu adalah gambaran rasa menyesal di atas perbuatannya di masa muda.

Namanya Basal bin Jijun, berasal dari Pulau Banggi yang terletak di dalam daerah Kudat. Keturunannya adalah suku kaum Kedayan. Umurnya sekarang mencecah 60 tahun.

Bagi Basal, Allah Maha Berkuasa dan mempunyai limpahan Maha Rahman dan Maha Rahim. Nasib hidupnya berubah bila mendapat kerja sebagai tukang kebun di kem tentera di Lok Kawi, Tawau.

Ramai di kalangan tentera itu yang berasal dari Kedah. Sebilangan daripada mereka yang berasal dari Kedah itu pernah belajar di sekolah-sekolah agama dan juga pondok-pondok pengajian Islam.

Hasil dari pergaulan harian dengan anggota tentera itu timbullah kemesraan yang mendorong Basal menghadiri majlis ilmu. Bermula daripada situ, Basal mula belajar agama Islam dengan diasuh anggota-anggota tentera dari Kedah.

Sebelum pada itu, saya keluar dari Pulau Banggi tu langsung tidak kenal walaupun huruf alif sebesar pokok kelapa.” ujarnya.

Kerja-kerja jahat dan samsengnya semakin jauh ditinggalkan dengan bertambahnya ilmu da amalan Islam. Kemesraan Basal dengan anggota-anggota tentera dari Kedah menyebabkannya dapat bertutur longat Kedah seperti orang Kedah jati walaupun sehingga sekarang belum lagi berkesempatan melawat negeri Kedah.

Seorang pendakwah ada menyebut dalam ceramahnya: “Ada orang berkata yang dirinya sukar untuk berubah kerana hatinya keras. Tahukah tuan-tuan, Saidina Umar al Khatab lagi keras hatinya kerana sanggup bunuh anak perempuannya dengan menanam budak itu hidup-hidup. Ingatlah, Allah itu Maha Berkuasa dan Pengasih. Saidina Umar al- Khatab yang hatinya keras itu akhirnya diberi hidayah oleh Allah lalu memeluk Islam dan akhirnya menjadi Amir Mukminin selepas wafatnya Rasulullah SAW. Oleh itu, bagi mereka yang merasa hatinya keras, selalulah berdoa kepada Allah supaya diberikan hidayah.”

Pada hari ini, dia dikenali sebagai Ustaz Basal, seorang guru al-Quran dan fardhu ‘ain di Pulau Banggi. Usaha itu dibuat oleh Ustaz Basal sebaik pulang ke kampungnya di Pulau Banggi selepas pencen sebagai tukang kebun di kem tentera.

Madrasah Manzilatul Masakin di Pulau Banggi adalah diasas dan dipimpin oleh Ustaz Basal. Madrasah itu pada mulanya sangat dhaif. Bagaimanapun, seorang hamba Allah telah menyumbang sebanyak RM 30,000 melalui usaha Yayasan Itmam dan sebuah bangunan madrasah baru telah selamat dibina hasil sumbangan itu.

Sekarang ini, lebih 60 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan termasuk remaja sedang belajar di madrasah tersebut. Dengan kerjasama Yayasan Itmam, majlis khatam al-Quran dan juga berkhatan beramai-ramai kanak-kanak lelaki telah dibuat di madrasah itu.

Kata Ustaz Basal: “Antara hari yang sangat gembira pada saya ialah apabila seorang anak murid kelas al-Quran mendapat johan tempat kedua dalam pertandingan musabaqah al-Quran daerah Kudat.”

0 comments:

Post a Comment