MORO

Friday, December 18, 2009

I Panel Penulis Itmam


Kehadiran mereka dalam kumpulan yang besar di satu-satu tempat sangat meresahkan penduduk asal setempat. Mereka dipanggil Orang Moro dan asal mereka dari kawasan yang tidak aman, Selatan Filipina.

Selatan Filipina terdiri dari Pulau Mindanao yang termasuk semenanjung Zamboanga, Pulau Basilan, Pulau Sulu dan Tawi-Tawi.

Dari kawasan tersebutlah datangnya kebanyakan pendatang tanpa izin (PATI) yang lumrahnya disebut Moro. Mereka ini hamper seratus peratus beragama Islam. Kedatangan mereka beramai-ramai ke Sabah bermula pada awal tahun-tahun70an. Dalam tahun-tahun tersebut, tentera Filipina telah melancarkan perang secara besar-besaran ke atas bangsa Moro.

Pada hari ini, keadaan tidak aman itu masih lagi wujud di pulau-pulau tersebut. Tentera Filipina sering berperang dengan tiga kumpulan bersenjata yang menamakan gerakan mereka itu sebagai MNLF, MILF dan Abu Sayyaf.

Akibat dari keadaan yang tidak aman itu, kawasan yang majoriti yang umat Islam menjadi miskin dan ramai rakyatnya jahil.

Kehadiran mereka di Sabah pada awalnya dianggap sebagai pelarian perang dan kebanyakan mereka membuat penempatan di kawasan-kawasan pinggir pantai. Daerah-daerah yang menjadi pusat tumpuan mereka ialah Semporna, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu. Bilangan mereka itu tidak sangat ketara di daerah-daerah lain yang terletak di pedalaman.

Mereka selalunya mendirikan rumah bertiang di atas air laut di pinggir pantai. Laut pula menjadi sumber utama rezki mereka dan pasar pula tempat mereka menjual tangkapan. Seringkali orang Moro yang menjadi nelayan dikaitkan dengan bom ikan kerana cara itu paling mudah mendapat tangkapan yang banyak dalam masa yang singkat. Kegiatan itu biasanya dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

Sebahagian daripada mereka diberi dokumen IMM13, satu surat perjalanan yang terhad. Walaupun begitu, kanak-kanak Moro menjual rokok, menggilap kasut di kedai makan atau terlibat dengan judi secara kecil-kecilan.

Kanak-kanak Moro jarang berpeluang mendapat pendidikan di sekolah kerana ibu bapa mereka mereka merupakan pendatang tanpa izin. Jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kanak-kanak itu akan membesar dengan kejahilan dan berkemungkinan menyumbang kepada masalah masyarakat adalah sangat besar.

Di kalangan orang Moro dewasa, kegiatan-kegiatan penyeludupan rokok dan barang tiruan, pengedaran dadah jenis syabu dan gengsterisme di pusat-pusat hiburan adalah lumrah.

Yayasan Itmam telah berusaha mendekati mereka dan pada hari ini sebilangan kanak-kanak Moro dididik di kelas-kelas al-Quran dan fardhu 'ain. Masih banyak kerja kebajikan yang boleh dilakukan tetapi sumber terutama kewangan adalah sangat terhad.

0 comments:

Post a Comment