Lawatan Direktur Suara Islam

Friday, December 18, 2009

I Panel Penulis Itmam

Yayasan Itmam menerima tetamu lagi baru-baru ini. Tetamu itu ialah dua orang lelaki dari kota Jakarta, Indonesia.

Seorang darinya bernama Tabrani Syabirin MA yang merupakan direktur akhbar Suara Islam yang edarannya meliputi Pulau Jawa, Sumatera dan juga Riau. Akhbar Suara Islam itu juga dapat dilayari melalui portal berita internet www.suara-islam.com.

Tabrani Syabirin MA juga seorang wakil rakyat peringkat Kabupaten di kawasan Batawi, Pulau Jawa.

Seorang lagi bernama Sabrun Jamil Amperawan, seorang direktur di beberapa buah syarikat di Indonesia. Antara kegiatan komersial syarikatnya ialah membekalkan gas asli mampat melalui paip kepada sebilangan besar kilang-kilang pembuatan di kota Jakarta.

Syarikat beliau juga membuat pemasangan tangki gas asli mampat pada kereta-kereta dan lain-lain pengangkutan ringan.

Selain itu, sebuah syarikat beliau turut sama membekalkan bahan-bahan pemerosesan air kepada ladang-ladang kepunyaan Lembaga Tabung Haji Malaysia di Medan, Sumatera Utara.

Sabrun Jamil Amperawan banyak membantu penerbitan Suara Islam baik di segi buah fikiran mahupun sumbangan kewangan.

Kata beliau: “Dakwah itu perlu ditunjangi kewangan yang sumbernya datang dari kegiatan ekonomi.”

Kedatangan mereka berdua itu merupakan lanjutan kepada lawatan-lawatan sebelumnya yang berkisar kepada hubungan dakwah dan juga perniagaan. Dalam lawatan yang lalu, mereka berdua turut sama meluangkan masa melawat Sabah, tempat gelanggang dakwah utama para juru dakwah Yayasan Itmam.

Wakil-wakil Yayasan Itmam juga turut sama membuat beberapa kali lawatan balas ke Jakarta.

Dalam lawatan mereka berdua baru-baru ini, beberapa siri perbincangan telah dibuat dengan beberapa pendakwah Yayasan Itmam yang diketuai Ustaz Haji Abdul Halim Abas dan turut serta oleh Ustaz Mat Yusop Din, Mohd Bilal bin Abdullah dan Ustazah Rosnani Untol.

0 comments:

Post a Comment