Kunjungan Penulis S.H. Al Attas

Friday, December 18, 2009

I Panel Penulis Itmam

Baru-baru ini, Syed Hussein Al Attas (gambar) atau lebih dikenali sebagai SH Al Attas, seorang penulis buku politik yang terkenal telah mengunjungi pejabat Yayasan Itmam.

Pada kesempatan lawatan itu, beliau telah dapat bertukar-tukar fikiran dengan beberapa orang juru dakwah yang berkebetulan berada di pejabat. Turut ada bersama dalam pertemuan itu ialah saudara Mohd Bilal bin Abdullah sebagai Pengarah Yayasan Itmam.

S.H. Al Attas mempunyai sebuah penempatan yang sangat bagus di kawasan Janda Baik. Penempatan itu yang dipanggil Wadi Hussein mempunyai satu aliran anak sungai yang jernih dan sejuk yang mengalir dari banjaran tanah tinggi.

Penempatan itu juga ditanami dan dihiasi dengan pelbagai pokok buah-buahan dan juga bunga-bungaan. Latar landskap sangat indah disusun dan tidak hairanlah jika Wadi Hussein ini telah diberi beberapa hadiah di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Dalam pertemuan singkat itu, S.H Al Attas telah melahirkan hasratnya untuk menjadikan penempatan Wadi Hussien itu sebagai sebuah Universiti Kehidupan. Wadi Hussien akan dijadikan tempat berkumpul orang ramai serta wacana ilmu dari masa ke semasa.

Ekoran dari kedatangan S.H Al Attas ke Yayasan Itmam, beberapa orang pendakwah yang diketuai oleh Ustaz Haji Abdul Halim Abas telah membuat kunjungan ke Wadi Hussien, Janda Baik, Bentong, Pahang.

Dalam kunjungan rombongan Yayasan Itmam tersebut, Tuan Syed Hussien Al Attas telah juga bermurah hati meraikan pelajar-pelajar madrasah tahfiz al-Quran dalam jamuan tengahari.

Lawatan Direktur Suara Islam

I Panel Penulis Itmam

Yayasan Itmam menerima tetamu lagi baru-baru ini. Tetamu itu ialah dua orang lelaki dari kota Jakarta, Indonesia.

Seorang darinya bernama Tabrani Syabirin MA yang merupakan direktur akhbar Suara Islam yang edarannya meliputi Pulau Jawa, Sumatera dan juga Riau. Akhbar Suara Islam itu juga dapat dilayari melalui portal berita internet www.suara-islam.com.

Tabrani Syabirin MA juga seorang wakil rakyat peringkat Kabupaten di kawasan Batawi, Pulau Jawa.

Seorang lagi bernama Sabrun Jamil Amperawan, seorang direktur di beberapa buah syarikat di Indonesia. Antara kegiatan komersial syarikatnya ialah membekalkan gas asli mampat melalui paip kepada sebilangan besar kilang-kilang pembuatan di kota Jakarta.

Syarikat beliau juga membuat pemasangan tangki gas asli mampat pada kereta-kereta dan lain-lain pengangkutan ringan.

Selain itu, sebuah syarikat beliau turut sama membekalkan bahan-bahan pemerosesan air kepada ladang-ladang kepunyaan Lembaga Tabung Haji Malaysia di Medan, Sumatera Utara.

Sabrun Jamil Amperawan banyak membantu penerbitan Suara Islam baik di segi buah fikiran mahupun sumbangan kewangan.

Kata beliau: “Dakwah itu perlu ditunjangi kewangan yang sumbernya datang dari kegiatan ekonomi.”

Kedatangan mereka berdua itu merupakan lanjutan kepada lawatan-lawatan sebelumnya yang berkisar kepada hubungan dakwah dan juga perniagaan. Dalam lawatan yang lalu, mereka berdua turut sama meluangkan masa melawat Sabah, tempat gelanggang dakwah utama para juru dakwah Yayasan Itmam.

Wakil-wakil Yayasan Itmam juga turut sama membuat beberapa kali lawatan balas ke Jakarta.

Dalam lawatan mereka berdua baru-baru ini, beberapa siri perbincangan telah dibuat dengan beberapa pendakwah Yayasan Itmam yang diketuai Ustaz Haji Abdul Halim Abas dan turut serta oleh Ustaz Mat Yusop Din, Mohd Bilal bin Abdullah dan Ustazah Rosnani Untol.

Anak Muda dari VOA-Islam

I Panel Penulis Itmam


Namanya Rojul Ala Khot. Itulah yang tertulis pada kad namanya. Namun begitu, dia lebih mesra dipanggil Iwan. Umurnya sudah mencecah 29 tahun. Penampilan luarnya ialah seorang anak muda yang tampan, bersemangat dan menguasai ilmu internet yang sangat mendalam.

Pada kad namanya tertulis jawatannya sebagai Chief Internet Officer, maknanya Ketua Pegawai Internet. Pada masa yang sama Iwan juga seorang wartawan portal berita internet www.voa-islam.com. VOA itu singkatan dari perkataan Voice of Al-Islam.

Iwan telah meninggal jauh kerjaya lamanya sebagai artis grafik iklan. Kesedaran baru yang muncul dari sudut hatinya mendorong dia dan beberapa kawan sebayanya mempelopori berita dunia Islam dalam bentuk media baru, dipanggil internet.

Setelah berjaya dalam pemberitaan dunia Islam dalam Bahasa Indonesia, Iwan dan kawan-kawannya mahu melebarkan pemberitaan itu ke dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab.

Jaringan berita pula diperluaskan skop yang meliputi seluruh negara dalam kawasan Asia Tenggara.

Kehadiran Iwan di Yayasan Itmam ialah untuk meminta kerjasama menyalurkan maklumat berita untuk Bahasa Malaysia dan Inggeris. Iwan juga dibawa mengunjungi pejabat akhbar dan juga melawat suasana kehidupan umat Islam di Wilayah Persekutuan, Selangor dan juga Kelantan.

Sebanyak lima siri tulisannya hasil lawatan ke Malaysia telah dimuatkan di dalam www.voa-islam.com di ruangan Malaysia.

MORO

I Panel Penulis Itmam


Kehadiran mereka dalam kumpulan yang besar di satu-satu tempat sangat meresahkan penduduk asal setempat. Mereka dipanggil Orang Moro dan asal mereka dari kawasan yang tidak aman, Selatan Filipina.

Selatan Filipina terdiri dari Pulau Mindanao yang termasuk semenanjung Zamboanga, Pulau Basilan, Pulau Sulu dan Tawi-Tawi.

Dari kawasan tersebutlah datangnya kebanyakan pendatang tanpa izin (PATI) yang lumrahnya disebut Moro. Mereka ini hamper seratus peratus beragama Islam. Kedatangan mereka beramai-ramai ke Sabah bermula pada awal tahun-tahun70an. Dalam tahun-tahun tersebut, tentera Filipina telah melancarkan perang secara besar-besaran ke atas bangsa Moro.

Pada hari ini, keadaan tidak aman itu masih lagi wujud di pulau-pulau tersebut. Tentera Filipina sering berperang dengan tiga kumpulan bersenjata yang menamakan gerakan mereka itu sebagai MNLF, MILF dan Abu Sayyaf.

Akibat dari keadaan yang tidak aman itu, kawasan yang majoriti yang umat Islam menjadi miskin dan ramai rakyatnya jahil.

Kehadiran mereka di Sabah pada awalnya dianggap sebagai pelarian perang dan kebanyakan mereka membuat penempatan di kawasan-kawasan pinggir pantai. Daerah-daerah yang menjadi pusat tumpuan mereka ialah Semporna, Lahad Datu, Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu. Bilangan mereka itu tidak sangat ketara di daerah-daerah lain yang terletak di pedalaman.

Mereka selalunya mendirikan rumah bertiang di atas air laut di pinggir pantai. Laut pula menjadi sumber utama rezki mereka dan pasar pula tempat mereka menjual tangkapan. Seringkali orang Moro yang menjadi nelayan dikaitkan dengan bom ikan kerana cara itu paling mudah mendapat tangkapan yang banyak dalam masa yang singkat. Kegiatan itu biasanya dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai dokumen yang sah.

Sebahagian daripada mereka diberi dokumen IMM13, satu surat perjalanan yang terhad. Walaupun begitu, kanak-kanak Moro menjual rokok, menggilap kasut di kedai makan atau terlibat dengan judi secara kecil-kecilan.

Kanak-kanak Moro jarang berpeluang mendapat pendidikan di sekolah kerana ibu bapa mereka mereka merupakan pendatang tanpa izin. Jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kanak-kanak itu akan membesar dengan kejahilan dan berkemungkinan menyumbang kepada masalah masyarakat adalah sangat besar.

Di kalangan orang Moro dewasa, kegiatan-kegiatan penyeludupan rokok dan barang tiruan, pengedaran dadah jenis syabu dan gengsterisme di pusat-pusat hiburan adalah lumrah.

Yayasan Itmam telah berusaha mendekati mereka dan pada hari ini sebilangan kanak-kanak Moro dididik di kelas-kelas al-Quran dan fardhu 'ain. Masih banyak kerja kebajikan yang boleh dilakukan tetapi sumber terutama kewangan adalah sangat terhad.

Wakaf Kitab/Buku

I Panel Penulis Itmam


Pelajaran agama yang disampaikan dengan lisan hanya boleh diingati sedikit saja oleh pendengar dan akhirnya menjadi lupa. Pelajaran agama itu boleh diingati dengan baik bila dicatit pada kertas atau ada kitab atau buku yang menjadi rujukan. Catitan atau kitab boleh dibaca untuk ulangkaji bila lupa atau mahu buat rujukan.

Oleh sebab tidak ada rujukan bertulis, ada sebilangan umat Islam bersembahyang zohor dengan tiga raka’at. Ada pula yang sembahyang zohor dan asar dengan bacaan yang kuat.

Kata mereka: “Inilah yang diajar oleh nenek moyang kami.”

Ada pula berlaku disatu tempat umat Islam boleh merokok pada siang hari di bulan puasa tetapi tidak makan dan minum. Kejahilan itu akan berterusan jika tidak ada usaha-usaha memberi pelajaran agama secara tersusun dan mempunyai rujukan.

Semua kejadian itu berlaku di Sabah dan dikesan oleh juru dakwah yang prihatin dan mahu mengubah kejahilan umat itu.

Dari itu, kempen wakaf kitab dan buku diusahakan untuk mengumpul sebanyak mungkin kitab dan buku berikut:

• Naskhah al-Quran Terjemahan pimpinan Ar Rahman,
• Buku Asas-Asas Fardhu‘Ain,
• Buku Iqra’,
• Buku Belajar Sembahyang Lelaki,
• Buku Belajar Sembahyang Perempuan.

Wakaf Kitab/Buku itu bernilai RM200 termasuklah urusan-urusan berikut:

• Pengurusan,
• Pembungkusan,
• Tambang penghantaran,
• Kos agihan ke kumpulan sasaran,
• Sagu hati kepada juru dakwah dan guru.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Alias Mohd : 016-9220677

Mat Yusop Din : 019-3923395